Luah Kata Dari Rasa

Kata Hati Insan Biasa…

Nombor, Sami, Dan Islam

Pernahkah anda menerima sekeping surat layang yang menceritakan kehebatan seorang sami Siam yang kononnya dapat meramal dengan tepat nombor ekor? Ya itulah kenyataannya. Baru-baru ini sewaktu pulang ke rumah yang tercinta aku ada menerima dua keping surat. Menurut surat yang dialamatkan kepada bapaku itu terdapat seorang sami di Siam boleh meramal nombor dengan tepat. Apa semua ini? Bapaku yang telah mengetahui isi surat itu meminta aku untuk membuangnya. Menurutnya itu adalah kali ketiga surat seumpama itu sampai kerumah. Bagaimanalah agaknya penghantar surat itu mendapat alamat rumahku sedangkan surat itu daripada negeri di utara Semenanjung Malaysia.

Tapi bukanlah itu yang aku ingin ungkitkan disini. Biasalahkan, kalau dapat surat layang seumpama ini akan ada beberapa orang yang menyokong dan mensahihkan perkara yang ditulis dalam surat itu.Apa yang aku ingin ungkitkan disini ialah aku amat hairan dan sangat kecewa kerana insan-insan yang mensahihkan surat itu tidak lain tidak bukan adalah orang MELAYU dan beragama ISLAM. Apa semua ini? Aku tidak mengerti mengapa masih ada orang kita yang jahil tentang agama. Secara terang telah disebutkan dalam Al-Quran bahawa judi itu HARAM. Aku ni bukanlah alim ulama’ yang hebat berbicara tentang agama, tetapi aku sedar betapa kegiatan seumpama ini perlu dihapuskan. Tidak dinafikan bahawa ini adalah fenomena biasa yang melanda umat Islam masa kini. Namun demikian, haruskah kita berdiam diri? Kita sebagai umat Islam seharusnya bersatu-padu bagi menangani anasir-anasir seumpama ini. Jika dibiarkan perkara sebegini akan terus berlarutan. Cuba bayangkan surat layang seumpama itu sampai ke tangan yang lemah imannya dan terdesak untuk menjadi kaya, sudah tentu mereka akan menggunakan khidmat sami Siam ini. Siapa yang rosak? Fikir-fikirkanlah.

p/s : Semoga umat Islam terselamat daripada durjana dunia ini….

November 22, 2007 Posted by pedangbiru | Luah Rasa-Selayang Pandang | | 5 Comments

Apa Ada Dengan UPSR?

Apa ada dengan UPSR? Aku hairan dan pelik apabila ada segelintir ibu bapa yang begitu taksub terhadap peperiksaan ini. Ada yang sanggup berhabis ratusan malahan ribuan ringgit semata-mata untuk melihat anak-anak mereka berjaya dalam peperiksaan ini. Tak salah. Itu duit mereka. Tapi janganlah sampai mengakibatkan tekanan kepada anak-anak ini. Pihak sekolah juga tidak kurang hebatnya menerima tempias ini apabila ibu bapa meletakkan segunung harapan kepada mereka untuk menjadikan anak mereka berjaya dalam UPSR.

Terdapat sesetengah sekolah yang sanggup membelakangkan undang-undang sehingga ada gurunya membocorkan soalan peperiksaan semata-mata untuk memastikan harapan ibu bapa ini terlaksana. Hal ini bukanlah omongan kosong semata-mata tetapi sudah terdapat kes seumpama ini yang berlaku. Cuba kita renung kembali, berbaloikah jika itu caranya? Nak kata UPSR memberi peluang yang cerah terhadap masa depan? Tak mungkin. Kalau itulah ukurannya, bagaimana pula dengan peperiksaan utama yang lain terutamanya SPM yang lebih besar nilainya daripada UPSR.

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa keputusan yang cemerlang dalam UPSR menjadi platform terbaik untuk memasuki sekolah berasrama penuh. Mungkin inilah cita-cita mereka. Tapi mereka juga harus sedar bahawa tidak semestinya sekolah berasrama itu cemerlang dan tidak semua sekolah harian itu “BODOH”. Persepsi ini seharusnya diubah dan ibu bapa hendaklah berfikiran lebih terbuka. Aku pernah menghadapi situasi seumpama ini. Taksubkan UPSR tapi keputusan peperiksaan utama seperti SPM tidaklah begitu memberangsangkan.

Apabila kita selusuri kembali, UPSR hanyalah semata-mata untuk menguji tahap pemahaman murid pada peringkat rendah sebelum memasuki peringkat yang lebih tinggi. Jadi usahlah terlalu “gilakan” UPSR sehingga anak-anak tidak dapat menikmati zaman kanak-kanak yang indah kerana asyik dengan belajar dan buku. Belajar biarlah ada waktunya kerana setiap orang ada cita-citanya yang tersendiri.

Jadi renung-renungkanlah, apa ada dengan UPSR?

p/s : Tahniah kepada yang berjaya dalam UPSR..

November 15, 2007 Posted by pedangbiru | Luah Rasa-Selayang Pandang | | 1 Comment

Salah Siapa?

Aku sering tertanya-tanya siapakah yang harus dipertanggungjawabkan terhadap gejala sosial yang berlaku pada hari ini. Ibu bapa, media, atau rakan sebaya? Semuanya memainkan peranan penting dalam menyumbang kearah keruntuhan sosial dan akhlak remaja.

Aku tidak faham mengapa kini media berlumba-lumba untuk menayangkan rancangan hiburan yang bagi aku tidak perlu dan tidak membawa sebarang kebaikan pun kepada masyarakat malah boleh memburukkan lagi permasalahan yang telah dihadapi pada hari ini.

Bukanlah niatku untuk menuding jari kepada sesiapa. Tapi jika kita lihat pada hari ini banyak rancangan hiburan yang telah melibatkan kanak-kanak disiarkan. Mungkin aku dikatakan terlalu primitif dan tidak menerima sebarang bentuk hiburan. Tapi itulah hakikat yang perlu kita hadapi sekarang. Penerapan budaya hedonisme dalam pemikiran kanak-kanak seperti yang disiarkan boleh memberikan kesan yang buruk dalam jangka masa panjang. Malah terdapat segelintir ibu bapa yang gembira anak-anak mereka terlibat dalam dunia hiburan dan sedih jika anak-anak ini tidak berjaya dalam bidang tersebut. Apa semua ini? Sudah “gila” agaknya dunia ini.

Aku bukanlah golongan anti-hiburan, tapi mesti kena tempatnya. Jangan terkejut jika anak-anak ini lebih mengenali siapa itu Mawi daripada Perdana Menteri. Lebih menghafal lirik lagu berbanding ayat Quran. Salah siapa? Tidak perlulah anak-anak ini dijadikan bahan untuk mendapat untung. Aku tidak mahu generasi akan datang ini lebih mengutamakan hiburan daripada segalanya. Apa akan jadi kepada negara ini? Namun itulah hakikat yang berlaku sekarang. Usah tudingkan jari. Mungkin ada menentang pandangan ku ini dengan menyatakan bahawa itu boleh mengembangkan minda anak-anak. Kembang yang bagaimanalah kalau disogokkan dengan hiburan?

Tepuk minda tanya media….

p/s : Selamatkan pemimpin masa depan…..

November 15, 2007 Posted by pedangbiru | Luah Rasa-Selayang Pandang | | 1 Comment

Memori

   

Angin malam bertiup syahdu

Membawa seribu kenangan lalu

Aku tidak lupa

Aku tidak alpa

Mana asalku

 

Terdetik di hati ini

Mungkin ku perlu pergi

Membawa hati duka ini

Membawa kasih suci ini

Mungkin…

 

Ku masih ingat

Dikala waktu kita ketawa

Dikala waktu kita berduka

Sentiasa bersama

 

Kini

Semuanya berubah

Semuanya beralih arah

Aku dengan caraku

Kau juga begitu

 

Tahulah engkau

Walau ditelan ombak raksasa

Walau dimamah seribu usia

Memori kita tetap bersama…

                                                     

November 3, 2007 Posted by pedangbiru | Kata Hati | | 3 Comments

Hari Ini

Hari ini,

Semakin berlalu pergi,

Pergi meninggalkan 1001 kenangan,

Tidakkah kita sedar betapa pantasnya masa berlalu?

Tidakkah kita tahu betapa ruginya kita?

 

Mungkin hari ini  yang paling bahagia

Atau mungkin juga  yang paling derita

Siapa tahu,

Siapa peduli,

Masing-masing cuba memeri

 

Cuba renungi

Kita nikmati

Kita hayati

Hari yang tidak akan ditemui lagi

Masa kan pergi,

Hilang tiada ganti,

Pergi tanpa dicuri

Datang tanpa dicari

 

Insaflah,

Sedarlah,

Kita tidak lama di sini

Tidak mungkin hakiki,

Tidak mungkin abadi…

November 3, 2007 Posted by pedangbiru | Kata Hati | | 1 Comment

Kasih

Mungkinkah dia?

Yang ku cari selama ini,

Yang ku damba sekian lama

Mungkinkah….

 

Aku tidak mengerti,

Mengapa dia…

Mengapa mesti dia mencuri hatiku

Mengapa mesti dia menambat jiwaku

 

Ku dambakan seluruh jiwa ragaku padanya

Ku hulurkan sejuta kasih padanya

Ku ratapi segala dukanya

Ku sorak gembira jayanya

Apa yang ku terima?

 

Tiada kasih,

Tiada lagi mesra

 

Tidakkah dia sedar kehadiranku

Tidakkah dia tahu niatku itu

Mungkin..

Apa nak dikata..

 

Hanya omongan palsu yang ku terima

Harapan sekadar kenangan

Umpama mimpi yang tidak berkesudahan…

November 3, 2007 Posted by pedangbiru | Kata Hati | | 5 Comments