Bila Universiti Jadi Lubuk Politik…
Aku masih tak faham, kenapa hal sebegini sering berlaku. Mengapa universiti masih menjadi lubuk politik bagi parti pemerintah. U mana tu malaslah aku nak beritahu. Carilah sendiri yek. Baru-baru ini terdapat perjumpaan bersama VC dengan anak-anak Kelantan. Apa tujuannya? Tiba-tiba jer. Aku turut difahamkan bahawa perjumpaan itu turut dihadiri oleh orang kuat pemerintah. Mana adil macam tu… Universiti seharusnya dipisahkan daripada politik. Akta undang-undang universiti dan kolej (AUKU) pun dah sebut hal ini. Tak kan lah tak tahu perkara yang paling asas macam ni.
Menurut rakan-rakanku yang menghadirinya, politik kerajaanlah yang menjadi topik utama perjumpaan tersebut. Seperti yang dijangkakan oleh aku. Sekelumit perasaan kecewa dan marah menyelubungi diri ini. Satu sahaja perkara yang menyeronokkan, dapat makan FREE…. Siapa yang untung? Korang fikirlah sendiri…
Calon Atau Parti?
Aku tertarik dengan topik yang dibincangkan dalam bual bicara sempena dengan hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum yang ke-12 di RTM 1 semalam. Adakah parti atau kredibiliti calon menjadi asas kepada rakyat umtuk mengundi. Rata-rata yang memberi pendapat menyatakan kredibiliti calon adalah lebih utama berbanding dengan parti yang di wakili calon tersebut. Persoalannya, adakah itu benar?
Bagi diri ku yang amat cetek ilmu politik di Malaysia ini, aku amat bersetuju dengan pendapat yang dinyatakan oleh para pemanggil dalam siri bual bicara itu. Kredibiliti calon adalah lebih utama berbanding dengan parti yang di wakili oleh calon tersebut. Wakil rakyat adalah untuk mewakili rakyat. Adalah amat malang sekali sekiranya wakil rakyat yang dilantik tidak menjalankan tugasan yang telah diamanahkan kepada mereka. Tidak kiralah calon itu daripada parti pemerintah atau daripada pihak pembangkang, sekiranya mereka dapat menjalankan tugas seperti yang sepatutnya mereka patut diberi mandat untuk menjadi wakil rakyat. Tidak semestinya semua calon daripada parti pemerintah itu baik, dan bukan semua pembangkang itu buruk belaka.
Para pengundi pada hari ini lebih bijak dan tahu untuk menilai sama ada pilihan itu adalah pilihan yang bijak atau pun sebaliknya. Terdapat di beberapa kawasan para pengundinya memilih calon bagi kerusi parlimen daripada kalangan calon parti pemerintah tetapi bagi kerusi DUN mereka memilih pihak pembangkang. Keadaan ini telah membuktikan kebijaksanaan pemilih bagi menyeimbangkan kuasa bagi kedua-dua belah pihak. Oleh yang demikian, rakyat hendaklah bertindak bijak untuk memilih wakil bagi menyampaikan suara mereka agar kehidupan mereka menjadi lebih sejahtera dan bahagia. Janganlah kerana terlalu taksubkan sesebuah parti kebajikan sendiri diabaikan.
Fikir-fikirkanlah……..
