Luah Kata Dari Rasa

Kata Hati Insan Biasa…

Bahaya Pembangkang…

Erm… Nampaknya satu lagi dakyah daripada barisan kerajaan yang pada aku adalah tidaktepat sama sekali. Menyokong barisan Pembangkang adalah berbahaya dan tidak patut sama sekali. (baca ni) Hehe.. Kalau ye pun nak menipu jangan lah sampai macam tu sekali.. Sampai kata menyokong Pembangkang atau Pakatan adalah berbahaya. Nampaknya MCA masih cuba untuk menyelamatkan dirinya yang semakin terumbang-ambing setelah kekalahan besar pada PRU-12 yang lalu yang pada aku adalah dalam nada mengugut masyarakat cina di negara ini.

Aku pun tak tahu lah nak cakap apa kan. Biarlah “ugutan-ugutan “seumpama itu terus meniti di bibir-bibir kepimpinan Barisan Nasional. Tapi mereka harus sedar bahawa MCA yang merupakan parti komponen kedua terbesar selepas UMNO dilihat semakin tidak relevan kepada masyarakat cina. Kenyataan-kenyataan seumpama ini hanya akan memakan diri sendiri.

Kepada BN, teruslah berusaha untuk menjatuhkan reputasi Pakatan di mata rakyat. Gunakanlah segala alternatif di negara ini untuk menyebarkan propaganda kerajaan sementara masih ada waktu. Jangan nanti menyesal kerana tidak menggunakan sepenuhnya penguasaan media oleh pihak kerajaan untuk menjatuhkan Pakatan. Tapi mereka harus tahu bahawa rakyat sudah tahu menilai dan  mereka tahu apa yang disampaikan menerusi media arus perdana itu bukanlah sepenuhnya boleh dipercayai. Contohnya amat jelas. Media sering memaparkan bahawa seluruh ahli UMNO menyatakan sokongan terhadap peralihan kuasa yang akan diadakan pada 2010(kalau sempat la..) tapi pada hakikatnya ramai yang tidak bersetuju dengan tempoh yang dikatakan terlalu lama itu.  Itu baru satu contoh ketidaktelusan media di negara ini. Pergolakan yang berlaku, ketenteraman yang di lapor. Itulah hakikatnya.

Semoga Pakatan dapat mengemaskan pentadbiran negeri dan membuktikan kepada rakyat bahawa mereka layak untuk memerintah bagi menggantikan kepimpinan BN yang aku lihat semakin lama semakin goyah disamping pengurusan ekonomi yang kurang stabil..

p/s : Jangan pesongkan rakyat…

September 23, 2008 Posted by pedangbiru | Luah Rasa-Politik Kita | | 4 Comments

16 September : Ancaman ”Si Tua”

Nampaknya isu 16 September dan lompat si katak lompat belum berakhir malah menjadi semakin panas dan hangat di negara kita ini.  Terbaru, Si Tua Pak Lah telah melabelkan Si Tua Anwar sebagai ancaman kepada kestabilan ekonomi dan keselamatan di negara ini. Nampaknya Si Tua Anwar kenalah bersedia meringkuk dalam ISA lepas ni. Orang yang tulis surat khabar pun kena tangkap ini pulak orang yang memberi ancaman pada negara ; bak kata Si Tua Pak Lah la kan..

Siapa yang mengancam dan siapa pula yang terancam sebenarnya? Pada hemat aku, Si Tua Pak Lah la yang mengancam. Mengancam dengan bertindak sesuka hati dengan menggunakan ISA sebagai lesen untuk menahan mana-mana individu yang tidak sebulu dengannya. Dalam keadaan ekonomi yang kurang menentu hari ini Si Tua itu cuba melarikan diri dengan bertukar portfolio dan mengambil alih port folio Si Tua Najib. Dengan harapan dia tidak di salahkan dan tidak perlu menjawab segala permasalahan tentang ekonomi negara di Parlimen kelak malah meletakkan segalanya di atas bahu Si Tua Najib disamping menuduh Si Tua Anwar yang menyebabkan keadaan ekonomi hari ini berlaku.

Hebat dan mengagumkan teknik yang diguna pakai oleh Si Tua Pak Lah ni. Bak kata pepatah Inggeris yang di Melayukan membunuh dua ekor burung dengan satu batu. Sambil menyelam minum air. Cadangan untuk mempercepatkan tempoh peralihan kuasa itu hanyalah sebagai gimik politik semata-mata bagi mengaburi segala sandiwara yang direncanakan.

Mengatakan negara dalam keadaan terancam dek penangan 1609 oleh Si Tua Anwar adalah satu helah untuk mengelirukan rakyat dan sebagai pelampung untuk menyelamatkan diri sendiri yang semakin karam dalam permainan yang dicipta. Yang paling benar adalah terancamnya kedudukan mereka dalam kerajaan. Begitulah hebatnya penangan orang-orang tua ini. Cerita dongeng pun boleh menjadi sejarah..

p/s : SI TUA yang mengancam…

September 18, 2008 Posted by pedangbiru | Luah Rasa-Politik Kita | | 4 Comments

16 September : Ayuh Serang Ramai-Ramai…

Selamat Hari Malaysia kepada semua. Kini serangan balas semakin giat di jalankan atas kegagalan Pakatan Rakyat menawan Putrajaya seperti  yang dicanangkan akan berlaku pada hari ini (16 September 2008). Kalau lima bulan lalu tidak ramai pemimpin kerajaan yang bersuara menafikan pembentukan kerajaan baru itu tapi hari ini ramai pula yang memberikan pendapat. Kononnya mereka sudah menjangkakan perkara seumpama ini berlaku. Kenapa tidak dari dulu lagi menafikannya. Balik-balik Pak Lah juga yang kena jawab.

Permainan media semakin giat digunakan oleh barisan kerajaan bagi menjatuhkan kredibiliti Pakatan. Walaupun permainan media ini telah bermula semenjak selepas PRU-12 yang lalu lagi tapi hari ini media digunakan sepenuhnya oleh pihak kerajaan. Jika ada perkara baik yang berlaku dalam kerajaan Pakatan di sebut pun tidak dalam media. Jika adapun mungkin di putar belitkan sedikit bagi menampakkan juga kepincangannya. Tapi jika perkara yang kurang baik berlaku, 3 hari 3 malam dicanangkan di media. Adil sungguh media di Malaysia ni ye..

Aku yakin bermula hari ini kerajaan akan menggunakan sepenuhnya media terutamanya media-media kerajaan untuk menyampaikan propaganda mereka dalam menampakkan kepada rakyat betapa ”jahatnya” Pakatan walaupun pada dasarnya tidaklah seperti yang digembar-gemburkan. Takut sangatkah media untuk melaporkan kebenaran? Yang baik tetap baik, yang buruk tetap buruk.

Hari ini (16 September 2008) mungkin menjadi tarikh keramat bagi BN kerana dapat mengekang kemaraan Pakatan ke Putrajaya. Tapi sampai bilakah kemaraan ini dapat disekat? Mungkin sehingga PRU-13 yang akan datang. Atau mungkin lebih awal daripada itu. Siapa tahu? Politik hari ini tidak menentu dan 1001 kemungkinan boleh berlaku.

Pokok pangkalnya, kerajaan Pakatan yang memerintah di 5 negeri setelah tamat PRU-12 lalu dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik buat rakyat. Sehingga hari ini aku berpuas hati dengan pelbagai program yang direncanakan di Selangor. Selaku penduduk di Selangor aku gembira kerana berpeluang untuk bertemu dengan wakil rakyat dan ahli exconya. Kalau di Pahang, aduyai… Susah gak aku nak jumpa dengan wakil rakyat dan exco negeri tu.. Hurm..

Apa-apa pun yang berlaku, teruskanlah untuk menyerang kerajaan Pakatan. Perkara seumpama ini akan menimbulkan kejelikan di mata rakyat yang mendengarnya seterusnya membawa kepada kemusnahan diri sendiri oleh kerajaan BN. Fikirlah sebelum bertindak. Rakyat sudah tahu menilai. Jangan perbodohkan rakyat lagi. Aku rasa ada sampai raya nanti agaknya cerita 16 September ini akan didendangkan di tv.. Tengok sajalah..

p/s : Kepada penduduk Shah Alam, Adun Kota Anggerik YB Yaakop Sapari ada membuat majlis berbuka puasa dan terawih di kediamannya pada 17 Sept 2008. Sesiapa yang ada kelapangan boleh la datang..

September 16, 2008 Posted by pedangbiru | Luah Rasa-Politik Kita | | 4 Comments

16 September : Bergembiralah BN…..

Pembentukan kerajaan Pakatan 16 September ini sudah hampir pasti tidak terlaksana dek kerna beberapa masalah teknikal yang berlaku. Nampaknya BN bolehlah bersorak gembira dan menghentam Pakatan terutama DSAI kerana kegagalan ini. Bolehlah mereka mengaut seberapa banyak keuntungan lagi selepas ini. Walaubagaimanapun mereka harus sedar bahawa penangguhan ini hanyalah bersifat  sementara waktu. Tidak bermakna terhenti seketika akan terus terhenti untuk selamanya. Itulah hakikat yang kerajaan BN harus sedar. 

Aku tertarik untuk meminjam perumpamaan daripada rakan blogger aku Ladymariah iaitu pembentukan kerajaan ini ibarat mengandung. Kadangkala doktor tersalah jangka tarikh kelahiran. Adakalanya awal dan adakalanya lambat. Akhirnya lahir jugakan Begitu juga dengan peralihan tampuk pimpinan kerajaan ini. Tidak berlaku hari ini berlaku hari esok. Tidak esok, mungkin lusa atau pada bulan-bulan akan datang. Pokok pangkalnya boleh berlaku. Cuma masa yang menentukan.

Mungkin BN merasakan mereka menang hari ini. Tetapi mereka harus tahu bahawa kemenangan itu bukanlah kemenangan mutlak. Jangan sangka panas hingga ke petang, takut hujan di tengah hari. Bak kata pepatah sediakan payung sebelum hujan takut basah di kemudian hari. Janganlah terlalu yakin peralihan ini tidak akan berlaku. Mungkin ya untuk masa terdekat mungkin tidak akan berlaku. Untuk jangka masa panjang siapa tahu? Lainlah dalam BN ada ahli nujum yang boleh menilik nasib mereka. Kalau ada ahli nujum pun mereka tentu dah cabut awal-awal sebab tahu apa yang bakal berlaku kepada mereka. Jadi bersiaplah… Bertindak sebelum terlambat. Bersiap sebelum di pecat…

p/s : Macam filemlah.. Hero kalah dulu.. Hehe.. ^_^

September 15, 2008 Posted by pedangbiru | Luah Rasa-Politik Kita | | 3 Comments

Semakin Hari Semakin Lemah….

Nampaknya pergolakan dalaman Barisan Nasional belum menemui titik noktahnya. Kelemahan pucuk pimpinan tertinggi telah dilihat sebagai punca kepada permasalahan antara Parti Gerakan yang juga parti komponen BN dengan UMNO semakin berlarutan dari hari ke hari. Isu perkauman yang dicetuskan oleh Ahmad Said sewaktu kempen Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh lalu dilihat semakin meruncing apabila Ahmad Said yang juga Ketua Pemuda UMNO Bukit Bendera enggan memohon maaf sebaliknya menyalahkan media kerana memutarbelitkan kenyataannya. Terpaksalah Pak Najib yang kena mohon bagi pihak UMNO untuk meredakan ketegangan.

Perkembangtan terbaru menyatakan Ahmad Said telah menyalahkan Gerakan atas kekalahan dalam Pilihan Raya dI Pulau Pinang dan meminta agar Gerakan keluar daripada Barisan Nasional.Wahaha… Lagaknya macamlah UMNO tu kuat sangat. Macamlah dia tu Pengerusi Barisan Nasional. Bukanlah menyokong Gerakan, tetapi tindakan seumpama itu boleh mengeruhkan keadaan yang sudah sedia keruh bagi parti pemerintah. Aku lihat hari ini agenda untuk parti adalah lebih utama berbanding agenda untuk rakyat. Tak guna kalau setakat turun padang lawat orang dilanda bencana tetapi bantuan tak sampai dan ada maksud yang terselindung.

Tindakan beberapa ahli UMNO yang menurunkan gambar Koh yang juga merupakan pemangku Presiden Gerakan dan memecahkan bingkainya dan mengoyakkan gambar tersebut dilihat terlalu biadap dan tidak beretika. Itu ke UMNO? Huh.. Dahsyat yek.. Dalam perselisihan pendapat PAS-DAP pun tak de la pulak ahli PAS koyak gambar Lim Kit Siang. Tak de la pulak ahli DAP koyak gambar Nik Aziz.. 

Ahmad Said kena sedar, walaupun pada asal usul sejarahnya memang kaum cina dan India datang ke Tanah Melayu dibawa oleh Inggeris pada waktu penjajahan dulu, kita kena hormati sumbangan mereka di Tanah Melayu dalam membangunkan ekonomi di Tanah Melayu pada waktu itu. Dan sehingga kini pun mereka masih lagi merupakan antara pembangun ekonomi di Malaysia. Lihat sahaja berapa ramai kaum cina yang terlibat dalam sektor ekonomi dan perniagaan. Kalau nak diharapkan Melayu dari dulu sampai sekaranglah kita sukar untuk maju. Bukan menidakkan keupayaan orang Melayu tetapi sikap suka bergantung dan malas kebanyakan bangsa Melayu telah melemahkan bangsa ini keseluruhannya.

Kepimpinan tertinggi UMNO seharusnya bertindak untuk membangunkan minda masyarakat terutamanya Melayu. Bukan setakat nak jerit ”Hidup Melayu” je. Tak guna jerit sampai terkeluar anak tekak pun jika tiada perubahan yang berlaku. Pak Lah janganlah terlalu LEMBUT. Kesejahteraan rakyat adalah lebih penting daripada agenda peribadi..

p/s ; Aku rasa Gerakan akan keluar BN… Hanya masa yang menentukan….

September 9, 2008 Posted by pedangbiru | Luah Rasa-Politik Kita | | 8 Comments

Salah Percaturan : Besar Musibahnya…

Ya. Memang benar jika kita tersalah percaturan musibahnya amat menyakitkan. Musibahnya amat memeritkan. Banyak perkara yang jika kita tersalah percaturan kita akan merasai kesannya. Antara sedar atau tidak kesilapan percaturan boleh membawa bencana yang amat dahsyat

Jika kita sebagai pengurus sebuah pasukan bola sepak kita mungkin tidak mahu pasukan kita kalah kepada pasukan lain. Mungkin kita sanggup berbelanja besar bagi mendapatkan pemain-pemain yang berkualiti bagi menguatkan pasukan. Tapi adakah usaha itu berbaloi jika pemain yang dibeli tidak mencapai standard yang dikehendaki? Dek kerna tersalah percaturan sewaktu mendapatkan pemain kita mungkin akan mengalami kerugian malah lebih dahsyat lagi kita mungkin akan di pecat daripada pasukan jika pasukan tidak menunjukkan prestasi yang memberangsangkan. Begitu besar kesannya terhadap tersilapnya percaturan dalam pengurusan sesebuah pasukan bola sepak.

Begitu juga kepimpinan hari ini. Contoh diatas adalah satu simulasi terhadap keadaan yang berlaku dalam dunia politik Malaysia hari ini. Pengurus pasukan bolehlah diibaratkan sebagai Perdana Menteri dalam sesebuah kerajaan. Segala percaturannya menjadi nadi terhadap kesejahteraan di dalam sesebuah negara. Menteri-menteri yang boleh diibaratkan sebagai pemain dalam sesebuah pasukan bola sepak merupakan penggerak kepada segala perancangan yang di lakukan oleh pengurusnya (Perdana Menteri). Jika barisan menteri ini gagal menunjukkan prestasi yang cemerlang rakyat yang merupakan kuasa terbesar boleh ”memecat” mereka menerusi Pilihan Raya Umum untuk memilih calon yang lebih sesuai bagi menerajui tampuk pemerintahan negara. Kean Pilihan Raya Umum lalu masih lagi terasa bahangnya. Setakat hari ini aku lihat kerajaan masih lagi tercari-cari rentak untuk menangkis segala permasalahan yang berlaku.

Bermula dengan kekalahan besar dalam Pilihan Raya Umum lalu, rakyat seolah-olah dipermainkan apabila janji untuk tidak menaikkan harga minyak gagal ditepati kerajaan pemerintah. UMNO tehegeh-hegeh mencari PAS untuk ”bermuzakarah”. Pertelingkahan dalam parti komponen BN semakin menjadi-jadi. Politik wang semakin menggila dalam sesi pemilihan UMNO. Penurunan harga minyak sebanyak 15 sen sebelum Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh di lihat sebagai umpan untuk menarik undi walaupun turut di nafikan tapi misi itu juga gagal apabila DSAI menang selesa di Permatang Pauh dengan peningkatan majoriti yang agak ketara. Dan hari ini parti pemerintah dilihat makin tertekan dengan uar-uar bahawa kerajaan baru akan dibentuk pada 16 September ini walaupun dinafikan sekeras-kerasnya oleh Pak Lah. Mereka seolah-olah tidak senang duduk dan menghitung hari untuk melepaskan jawatan masing-masing.

Inilah akibatnya jika tersalah percaturan. Itulah kesannya akibat terlalu tamak. Mujur mereka masih lagi berjaya membentuk kerajaan itupun dengan majoriti mudah setelah kehilangan kuasa 2/3. Rakyat hampir menghukum mereka pada pilihan raya umum yang lalu dan senario ini semakin jelas pada pilihan raya kecil Permatang Pauh yang lalu. Mungkin masih ingin memberi peluang. Tapi jelas aku lihat dari hari ke hari sokongan kepada Pakatan semakin bertambah. Aku dapat rasakannya. Kalaupun mereka tidak membentuk kerajaan 16 Septembar ini aku yakin pada PRU-13 nanti kerajaan BN pasti akan berada di kerusi Pembangkang dan bukan lagi bersenang-lenang di barisan Kerajaan.

Sedarlah, adalah tidak cukup dengan sekadar bersesak di dalam komuter. Adalah tidak cukup dengan sekadar bersumpah. Adalah tidak cukup dengan sekadar memberi janji manis. Yang rakyat mahu keadilan. Yang rakyat mahu ketelusan. Yang rakyat mahu kestabilan ekonomi. Itu yang rakyat mahu. Bukan politik wang. Bukan hanya nampak muka bila tiba musim Pilihan Raya. Rakyat mahukan pemimpin yang sanggup bersama-sama mereka merasai kesusahan. Bukan hanya pemimpin yang duduk di banglo-banglo mewah semat-mata.

Semoga, segala kepincangan ini dapat di atasi dengan segera. Ayuh bangkit. Buktikan rakyat adalah raja dalam sistem perlembagaan demokrasi ini. Hapuskan segala ketirisan yang berlaku…

p/s : Menghitung hari…..

September 6, 2008 Posted by pedangbiru | Luah Rasa-Politik Kita | | 2 Comments

Melayu Pemalu?

Benarkah masyarakat Melayu kita pemalu sifatnya? Benarkah Melayu kita sopan gaya lakunya? Betul ke kedua-dua fakta ni? Aku pun kadang-kadang tu keliru. Betul ke apa yang aku dengar apabila setiap kali aku menghadiri ceramah-ceramah yang berkaitan dengan jati diri dan pembangunan minda ni? Hurm.. Entahlah. Mungkin ada separuh daripadanya betul. Tetapi yang lainnya adalah PALSU semata-mata. Sekadar untuk menyedapkan ceramah je.

Memang benar Melayu tu pemalu sifatnya. Malu untuk bertanya jika ada kekeliruan. Malu untuk mebetulkan kesilapan yang terang-terang dilakukan. Malu untuk menyatakan kelemahan diri. Malu untuk menegakkan kebenaran. Malu untuk maju ke hadapan. Dan pelbagai contoh lagi yang menyebabkan Melayu kita malu.

Tapi bukanlah semuanya orang kita malukan. Ada juga perkara-perkara yang ramai orang Melayu tiada rasa MALU. Melayu kita terutamanya remaja kita tak malu untuk berkepit siang malam dengan pasanagn masing-masing. Melayu kita tak malu untuk merempit sampai ke Subuh. Malah berasa bangga lagi. Melayu kita tak malu merakam aksi seks mereka guna handphone. Melayu kita tak malu  terkinja-kinja tengah orang ramai sewaktu konsert. Melayu kita tak malu ambil rasuah. Melayu kita tak malu sumbang mahram. Melayu kita tak malu kahwin lari. Melayu kita tak malu mencuri duit mak bapak. Melayu kita tak malu main nombor ekor

Apa semua ni? Aku semakin kecewa dengan senario hari ini yang melibatkan bangsa aku yang tercinta. Aku bukanlah pejuang bangsa. Tetapi setidak-tidaknya aku masih punyai rasa sayang dan sedih apabila perkara seumpama ini berlaku. Bukanlah semua Melayu begitu. Aku amat berbangga dengan bangsa Melayu yang berjaya di luar sana. Tapi berapa sangatlah bilangannya jika nak dibandingkan dengan Melayu-Melayu yang seumpama ini.

Bukan berniat untuk menjatuhkan maruah bangsa dan agama, tapi itulah hakikat yang harus diterima. Sekadar peringatan untuk semua termasuklah juga diriku yang lemah ini. Apalah yang mampu di buat oleh insan-insan seperti aku ini. Seharusnya pemimpin-pemimpin terutamanya pemimpin Melayu berusaha untuk membawa dimensi baru kepada bangsa Melayu yang aku lihat semakin hanyut dalam dunia mereka sendiri. Pembangunan lahiriah seharusnya diterapkan dan bukan pembangunan zahiriah semata-mata.

p/s : Sedarlah semua. Hidup ni tak panjang….

September 4, 2008 Posted by pedangbiru | Luah Rasa-Selayang Pandang | | 5 Comments