Melayu Pemalu?
Benarkah masyarakat Melayu kita pemalu sifatnya? Benarkah Melayu kita sopan gaya lakunya? Betul ke kedua-dua fakta ni? Aku pun kadang-kadang tu keliru. Betul ke apa yang aku dengar apabila setiap kali aku menghadiri ceramah-ceramah yang berkaitan dengan jati diri dan pembangunan minda ni? Hurm.. Entahlah. Mungkin ada separuh daripadanya betul. Tetapi yang lainnya adalah PALSU semata-mata. Sekadar untuk menyedapkan ceramah je.
Memang benar Melayu tu pemalu sifatnya. Malu untuk bertanya jika ada kekeliruan. Malu untuk mebetulkan kesilapan yang terang-terang dilakukan. Malu untuk menyatakan kelemahan diri. Malu untuk menegakkan kebenaran. Malu untuk maju ke hadapan. Dan pelbagai contoh lagi yang menyebabkan Melayu kita malu.
Tapi bukanlah semuanya orang kita malukan. Ada juga perkara-perkara yang ramai orang Melayu tiada rasa MALU. Melayu kita terutamanya remaja kita tak malu untuk berkepit siang malam dengan pasanagn masing-masing. Melayu kita tak malu untuk merempit sampai ke Subuh. Malah berasa bangga lagi. Melayu kita tak malu merakam aksi seks mereka guna handphone. Melayu kita tak malu terkinja-kinja tengah orang ramai sewaktu konsert. Melayu kita tak malu ambil rasuah. Melayu kita tak malu sumbang mahram. Melayu kita tak malu kahwin lari. Melayu kita tak malu mencuri duit mak bapak. Melayu kita tak malu main nombor ekor
Apa semua ni? Aku semakin kecewa dengan senario hari ini yang melibatkan bangsa aku yang tercinta. Aku bukanlah pejuang bangsa. Tetapi setidak-tidaknya aku masih punyai rasa sayang dan sedih apabila perkara seumpama ini berlaku. Bukanlah semua Melayu begitu. Aku amat berbangga dengan bangsa Melayu yang berjaya di luar sana. Tapi berapa sangatlah bilangannya jika nak dibandingkan dengan Melayu-Melayu yang seumpama ini.
Bukan berniat untuk menjatuhkan maruah bangsa dan agama, tapi itulah hakikat yang harus diterima. Sekadar peringatan untuk semua termasuklah juga diriku yang lemah ini. Apalah yang mampu di buat oleh insan-insan seperti aku ini. Seharusnya pemimpin-pemimpin terutamanya pemimpin Melayu berusaha untuk membawa dimensi baru kepada bangsa Melayu yang aku lihat semakin hanyut dalam dunia mereka sendiri. Pembangunan lahiriah seharusnya diterapkan dan bukan pembangunan zahiriah semata-mata.
p/s : Sedarlah semua. Hidup ni tak panjang….
Harga Minyak Turun : Sampai Bila?
Mulai hari ini kerajaan telah menurunkan harga minyak sebanyak RM0.15 dan RM0.22 bagi RON97 dan RON92. Manakala harga Diesel diturunkan sebanyak RM0.08 kepada RM2.50 (klik sini). Tapi sampai bilakah agaknya penurunan harga ini dapat terus dikekalkan? Terima kasih kepada kerajaan kerana agak prihatin terhadap masalah yang dihadapi oleh rakyat pada hari ini. Secara teorinya apabila harga minyak naik harga barangan akan turut melambung naik. Alasan yang diberikan oleh peniaga ialah harga terpaksa dinaikkan atas desakan kenaikan harga minyak. Tetapi apabila harga minyak diturunkan ada ke mereka turut menurunkan harga barangan? Apa pandangan anda?
Sebenarnya rakyat masih lagi menghadapi masalah kenaikan harga barangan terutamanya kenaikan harga barangan makanan. Bukanlah menyalahkan 100% kepada peniaga tetapi kerajaan seharusnya memandang serius isu ini agar tidak terus menekan pengguna. Mungkin dengan penurunan harga bagi bahan api ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban walaupun tidaklah sebesar mana. Setidak-tidaknya dapat juga membantu meringankan sedikit tanggungan yang dihadapi oleh rakyat hari ini.
Aku bukanlah terlalu mengharapkan bantuan sepenuhnya daripada kerajaan, tetapi dalam situasi ekonomi dunia yang tidak begitu menentu hari ini kita harus bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan. Penurunan harga minyak dunia ini mungkin bersifat sementara. Kita tidak tahu keadaannya pada masa akan datang. Semoga penurunan harga minyak dunia ini akan terus konsisten dan rakyat akan dapat menikmati faedahnya..
p/s : Jangan mungkir janji lagi…
Khalid Perlu Minta Maaf….
Nampaknya isu hangat tentang cadangan pembukaan 10% kuota kepada bukan Bumiputera di UiTM masih lagi menjadi isu paling sensasi selain daripada Pilihan Raya Kecil yang bakal berlangsung tidak lama lagi. Mana kan tidak, isu tersebut telah membangkitkan kemarahan golongan Bumiputera terutamanya kaum Melayu dalam usaha untuk mengekalkan satu-satunya IPTA yang pelajarnya terdiri daripada kaum bumiputera di negara ini. Malah aku lihat tindakan ini sebagai tidak kena masa dan caranya.
Sebagai seorang Menteri Besar, aku berpendapat bahawa Tan Sri Khalid perlu memohon maaf kepada seluruh penduduk Bumiputera di negara ini dan bukan sahaja kepada orang MELAYU kerana isu seumpama ini telah mengusik jiwa mereka. Tidak bermakna tiada kaum bukan bumiputera di UiTM para pelajarnya tidak boleh bersaing dan maju. Aku sedar kebanyakan pelajar MELAYU terutamanya di UiTM masih lagi ketinggalan. Namun situasi itu sedikit demi sedikit telah berubah dan persepsi bahawa graduan lepasan UiTM tidak berkualiti semakin terhakis walaupun aku tidak menolak kemungkinan masih ada cacat celanya. Bagi aku mana-mana graduan pun turut menghadapi masalah yang sama tidak kiralah graduan lepasan universiti mana pun hatta graduan lepasan universiti luar negara sekalipun.
Isu-isu seumpama ini bukan sahaja sedikit sebanyak mencalarkan imej Pakatan Rakyat tetapi turut memberi ruang kepada musuh-musuh politik untuk terus memainkan isu-isu seperti ini terutamanya UMNO yang dilihat ketandusan idea untuk terus menghentam kerajaan Pakatan Rakyat dan pemimpin-pemimpinnya. Kepada Tan Sri Khalid, anda perlu segera memohon maaf agar isu ini tidak terus di panjangkan dan terus di mainkan oleh pihak-pihak yang berkepentingan. Jangan disebabkan nila setitik rosak susu sebelanga, Jangan sudah terhantuk baru nak terngadah… ANDA PERLU MOHON MAAF SEGERA!!
p/s : Di kesempatan ini saya nak ucapkan terima kasih kepada semua pembaca blog saya.. Ini adalah entri yang ke-50 dan blog saya ni telah pun melangkaui lebih daripada 1000 pengunjung. Sokongan dan tunjuk ajar anda amat saya hargai. Terima Kasih semua..-pedangbiru-
Jangan Cepat Melatah Wahai Bangsaku…
Huh nampaknya Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM tidak berdiam diri berhubung dengan cadangan Tan Sri Khalid Ibrahim untuk membuka peluang kepada bukan Melayu untuk menuntut di UiTM. Pagi tadi satu perarakan menuju ke pejabat Menteri Besar telah dilakukan untuk menyampaikan bantahan kepada Tan Sri Khalid. Baguslah tu untuk membela nasib bangsa yang kini dilihat semakin ketinggalan daripada pelbagai segi. Tapi aku tidak berkenan dengan cara penyampaian bantahan tu..
Manakan tidaknya, segerombolan pelajar UiTM telah menanti di hadapan pejabat Menteri Besar untuk berarak sambil menyampaikan rasa tidak puas hati mereka. Yang paling aku tak tahan apabila lagu “Wawasan Setia Pelajar” yakni salah satu lagu rasmi UiTM turut dinyanyikan. Pebenda tu? Aku rasa tak perlu lah sampai nak menyanyi kot.. Adalah lebih baik jika bantahan tersebut disampaikan secara bersemuka dan profesional. Bukanlah aku tidak menyokong tindakan mereka untuk menyampaikan bantahan. Aku juga membantah, tetapi perlulah dengan cara yang lebih berdisiplin dan beretika. Cara penyampaian bantahan tu pun dah menunjukkan ketidakmatangan kita. Seolah-olah pelajar UiTM ini suka memberontak. Dah jadi budaya rakyat Malaysia hari ini agaknya untuk bertindak dengan cara yang kurang rasional.
Janganlah kita cepat melatah. Bukan aku tidak sayang akan bangsaku ini, tetapi tindakan kita haruslah lebih profesional. Kematangan dalam bertindak adalah sesuatu yang amat penting. Barulah bangsa kita dihormati. Aku lihat hari ini kita cepat melatah apabila isu-isu sensitif disentuh. Bersemuka secara tertutup adalah lebih berkesan dalam menangani hal-hal yang berbangkit ini. Aku tidak mahu lagi lihat bangsa Melayu terus bertindak mengikut perasaan. Kaji diri sendiri. Jangan cepat menyalahkan orang lain..
p/s : Kekalkanlah UiTM sebagai sebuah universiti untuk Bumiputera..
UiTM Untuk Bukan Melayu : Wajar Atau Tidak?
Adakah kewajaran untuk membuka peluang 10% kepada bukan bumiputera untuk menuntut di Universiti Teknologi Mara Malaysia (UiTM)? Cadangan untuk membuka peluang kepada bukan bumiputera menuntut di UiTM telah dikemukakan oleh Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dengan alasan bahawa kemasukan 10% bukan bumiputera itu akan menjadikan UiTM lebih berdaya saing dan mempertingkatkan kualiti pendidikan di UiTM (Lagi berita). Benarkah begitu? Tidakkah cadangan ini akan bertentangan dengan objektif penubuhan UiTM yang dahulunya di kenali sebagai Dewan Latehan RIDA iaitu untuk melahirkan generasi bumiputera yang berilmu dan berdaya saing? Pada aku, cadangan ini mempunyai pro dan kontranya..
Apakah pro dan kontranya? Pada pandangan aku, para pelajar UiTM yang terdiri daripada golongan Bumiputera pada hari ini dilihat begitu selesa dan terlalu mengharapkan bantuan yang diberikan. Budaya terlalu mengharap ini bukan sahaja tidak baik malah boleh menyebabkan mereka kurang berusaha untuk berjaya. Bukanlah SEMUANYA yang bersikap demikian tetapi sebahagian daripadanya aku lihat bersikap sedemikian. Jauh berbeza dengan rakan-rakan di IPT-IPT Awam yang lain yang terpaksa bersaing dengan bukan bumiputera ini. Bukanlah menidakkan keupayaan pelajar Bumiputera, tetapi corak pembelajaran yang berbeza antara bumiputera dan bukan bumiputera menyebabkan kebanyakan pelajar Bumiputera terutamanya pelajar-pelajar MELAYU ketinggalan. Aku dapat merasakannya dan itulah hakikatnya. Yang mereka tahu hanyalah bergembira dan bersukaria. Mungkin. Mungkin dengan kehadiran bukan bumiputera dalam UiTM dapat memberi satu nafas baru kepada pelajarnya untuk bersaing dengan lebih sihat dan tidak hanya bersaing sesama bangsa. Hakikatnya selepas keluar daripada universiti nanti para pelajar terpaksa juga menghadapi saingan daripada kaum-kaum lain terutamanya dalam sektor pekerjaan.
Itu pronya. Kontranya pula, tempat untuk kaum bumiputera di IPT akan semakin berkurangan. Sudahlah hendak ke IPT-IPT Awam yang lain pun agak sukar zaman sekarang ni, ditambah pula tempat yang sepatutnya boleh diisi oleh kaum bumiputera di UiTM diambil oleh kaum bukan bumiputera. Kemana mereka hendak pergi? Mungkin kerajaan harus menganbil kira pelbagai aspek jika ingin melaksanakan cadangan ini. Cadangan kemasuan 10% bukan bumiputera kedalam UiTM mempunyai pro dan kontranya. Pada aku, biarlah UiTM dikekalkan 100% bumiputera. Selama ini pun aku lihat para graduan lepasan UiTM berjaya membawa diri mereka setelah keluar dan tiada sebab untuk membawa masuk bukan bumiputera kedalam UiTM. Cukuplah dengan tenaga pengajar yang bukan bumiputera untuk mendidik anak bangsa kitam agar terus maju dan berdaya saing. Mungkin niat Tan Sri Khalid itu baik tetapi caranya yang tidak kena.. Kepada Muhammad Taib janganlah isu seumpama ini cuba di politikkan (Kenyataan Muhammad Taib)
p/s : Kenapa baju batik UiTM tak lawa?
Tahniah Buat Malaysia!!!
Perlawanan antara pasukan Malaysia dan Chelsea malam semalam bagi aku cukup menghiburkan walaupun Malaysia tewas. Chelsea yang turun dengan reputasi tinggi selepas menang besar dengan kelab di China hanya berjaya menjaringkan 2 gol. Haha!!! Nampaknya strategi yang direncana oleh B. Sathianatan sekurang-kurangnya dapat megelakkan kekalahan yang lebih besar. Kesungguhan pemain negara telah ditunjukkan seawal minit kedua apabila membuat percubaan ke pintu gol Chelsea tetapi sedikit tersasar.
Walaupun tewas aku yakin bahawa tahap permainan pemain bola sepak negara sudah sedikit meningkat. Pemain kita lebih berani untuk menyerang cuma cepat kehilangan bola sewaktu menyerang menjadi punca kepada kegagalan pasukan Malaysia yang juga menjadi punca gol pertama Chelsea malam tadi hasil serangan balas yang disempurnakan oleh Nicholas Anelka. Selaku pasukan bukan pilihan dalam perlawanan tersebut aku lihat pemain-pemain Malaysia berjaya untuk mengekang kemaraan penyerang-penyerang Chelsea buat 26 minit yang pertama sehinggalah jaringan oleh Anelka tersebut.
Mungkin penyokong-penyokong Chelsea melihatkan perlawanan ini adalah satu perlawanan yang mudah buat Chelsea tapi sebaliknya yang berlaku apabila pasukan Malaysia berjaya untuk bersaing dengan kelab Liga Perdana Inggeris itu. Tahniah buat Malaysia.Teruskan kebangkitan anda. Semoga terus maju jaya dan jadikan perlawanan malam semalam sebagai pelajaran yang mungkin boleh digunakan pada masa akan datang. Rakyat Malaysia sentiasa dibelakang anda. Buat FAM perbanyakkan pendedahan antarabangsa buat pasukan kebangsaan. Pendedahan yang cukup sahaja boleh memberi kematangan kepada pasukan Malaysia hari ini.. Walaupun kalah, tahniah buat Malaysia…
p/s : Harap sempat tengok pasukan bola sepak Malaysia bersaing di Piala Dunia.. Bosan dah nak sorak kat team lain…
Malaysia Atau Chelsea?
Malaysia atau Chelsea? Itulah persoalan yang mungkin bermain di fikiran sesetengah penyokong Chelsea di Malaysia sama ada untuk menyokong pasukan kebangsaan atau dengan tanpa segan silunya menyokong Naib Juara Liga Perdana Inggeris musim 2007-2008 itu yang tewas kepada MANCHESTER UNITED dalam perebutan takhta liga musim lalu. Dilema mungkin. Ditelan mati anak diluah mati bapak. Antara semangat patriotik atau kekal sebagai kipas-susah-mati (Die hard fans) yang amat setia.
Kalau aku, aku lebih rela menyokong pasukan kebangsaan walaupun keputusannya sudah dijangka. Tapi siapa tahu. Malaysia lebih hebat daripada Chelsea dan setanding dengan MANCHESTER UNITED. Mungkin nampak tidak realistik. Tapi kita harus ingat bola itu bulat. Bukan empat segi, tiga segi mahupun silinder. Dalam dunia ni bola ragbi je bujur. Yang lain semua bulat termasuklah bola sepak ni. Jadi janganlah kita mengalah selagi wisel penamat belum ditiup dan lampu stadium ditutup. Apalah sangat Chelsea tu.. Main bola pun sepak bola gak.. Malaysia main pun sepak bola gak.. Mungkin skil dan teknik je berbeza..
Semoga para pemain kebangsaan menunjukkan prestasi bola sepak tertinggi mereka malam esok. Kalah atau menang adat pertandingan yang penting para pemain dapat belajar sesuatu demi meningkatkan kembali maruah pasukan kebangsaan. Suatu ketika dahulu sewaktu era Allahyarham Mokhtar Dahari pasukan Malaysia pernah menewaskan pasukan bola sepak Arsenal.. Jadi tidak mustahil kita boleh mengatasi pasukan Chelsea walaupun mereka dilihat berada satu tahap lebih tinggi daripada pasukan Malaysia. Ayuh rakyat Malaysia berikan sokongan anda kepada pasukan kebangsaan. Jangan tahu sokong pasukan luar je. Pasukan Malaysia perlukan sorakan anda semua…
p/s : Sokong Malaysia dari jauh…. Tiket mahal sangat…
Hina Sangatkah Proton?
Kontroversi terus melanda. Hari ini sekali lagi MB Terengganu secara terbuka terus mempersenda kualiti buatan Proton Perdana V6 Executive dengan menyatakan bahawa kenderaan itu hanya layak untuk digunakan sebagai perjalanan ulang-alik ke lapangan terbang sahaja. (lagi berita) Apa hina sangatkah kereta nasional tu? Keadaan ini secara tidak langsung boleh menjejaskan imej Proton sebagai salah sebuah badan automotif dan pengeluar kereta nasional di negara ini. Alasan penyelenggaraan yang tinggi itu telah dinafikan oleh Proton malah kos sebenar yang dinyatakan oleh Proton adalah jauh lebih rendah yakni sekitar RM200 untuk servis biasa iaitu meliputi penukaran motor oil dan oil filter. (lagi cerita) Siapa betul?
Kalau ye pun nak kutuk, aku rasa tak perlulah nak komen dekat wartawan dan masuk tv ape semua.. Lets Proton know what happen about the car.. Perkara-perkara seumpama ini bukan sahaja boleh menghilangkan kepercayaan rakyat kepada kereta nasional malah boleh merugikan lagi Proton.. Penafian beliau bahawa beliau seorang yang tidak patriotik dilihat sebagai sesuatu yang menjengkelkan. Memanglah menggunakan kereta nasional bukanlah tiket kepada sifat patriotik, tapi pemimpin seharusnya menunjukkan contoh kepada rakyat dan mempromosikan kereta nasional kepada negara luar dengan menggunakannya sebagai kenderaan rasmi. Kalau dah kerajaan sendiri pun tidak mempercayai kereta nasional, bagaimana pula negara-negara luar hendak yakin dengan kereta buatan tempatan ini? Pada aku langkah melarang Kerajaan Terengganu menggunakan Mercedes sebagai kenderaan rasmi oleh Kabinet adalah sesuatu yang tepat bagi menjaga kepentingan bersama (lagi berita)
p/s : Kontroversi melanda lagi…..
Alasan Oh Mercedes Ku…
Semakin hari semakin banyak kisah tentang pembelian 14 buah Mercedes E200 Kompressor oleh Kerajaan Terengganu. Dan sepanjang tempoh itu juga bermati-matianlah MB Terengganu mempertahankan alasannya atas pembelian tersebut. Alasannya mudah, dek kerna kos penyelenggaraan yang tinggi dan rendahnya kualiti buatan kereta Nasional tersebut. (lagi berita) Aduyai… Kata sehati sejiwa.. Kerajaan Pusat cakap lain, kerajaan Negeri buat lain. Cakap tak serupa bikin! Pak Lah suruh jimat, bukan habiskan duit rakyat..
Penafian tentang penggunaan duit royalti untuk 14 bijik Mercedes ni bukan masalahnya. Rakyat bukan nak tahu tu semua. Yang rakyat nak tahu kenape dalam keadaan rakyat terkapai-kapai dalam kenaikan harga minyak sekarang ni sempat lagi nak tukar pakai Mercedes? Kenapa tak tukar jer Perdana yang baru kalau benarlah kereta yang lama tu selalu rosak sebab banyak sangat digunakan untuk bertemu rakyat dan maintenance nye tinggi? Negeri lain pun pakai V6 gak.. Ok jer.. Pada pandangan aku tiada apa yang perlu dibangkitkan.. Nanti kalau kos maintenance untuk Mercedes tinggi gak tak kan nak tukar Ferrari pulak kot.. Setahu aku, kos penyelenggaraan kereta mewah macam ni lagi tinggi dan penggunaan minyak pun tinggi. Tak tahulah kalau fakta aku ni salah… Maklumlah mereka lebih pandai bab ekonomi ni kan.. Sapalah aku ni kan.. Hurm….
p/s : Ramai lagi rakyat yang miskin kat luar tu…
Alkisahnya Ketam…
Aku ada terbaca satu kisah tentang ketam yang pada aku boleh la untuk dijadikan bahan renungan kepada kita semua. Cerita ini telah ditulis oleh Encik Lawak di website ini www.lawak.net. Kisahnya menceritakan tentang seorang peniaga cina yang menjual ketam. Apabila seorang Melayu ingin membeli ketam tersebut peniaga tersebut telah menanyakan sama ada mahu ketam Melayu atau ketam Cina. Dengan penuh kehairanan pembeli tersebut bertanya tentang perbezaan ketam Melayu dengan ketam Cina. Peniaga tersebut menerangkan bahawa ketam Cina diletakkan di dalam bekas yang bertutup kerana tidak mahu ketam tersebut keluar dan bimbang bahawa ketam-ketam lain akan turut belajar bagaimana untuk melepaskan diri daripada bekas tersebut Hal ini akan menyebabkan banyak ketamnya akan lari. Bercakap tentang ketam Melayu pula peniaga tersebut tidak menutup bekasnya kerana dia tahu apabila seekor ketam Melayu ini hendak terlepas maka akan ditarik jatuh kembali oleh ketam-ketam yang lain. Maka tidak akan ada seekor pun yang akan terlepas daripada bekas itu. Itulah kisahnya antara ketam Cina dan ketam Melayu.
Mungkin ada yang pernah mendengar cerita ini. Walaupun cerita ini hanyalah untuk bahan jenaka semata-mata tetapi mempunyai nilai yang tinggi kerana tindakan ketam ini adalah simbolik kepada apa yang sering berlaku hari ini. Analoginya mudah, ketam-ketam itu diibaratkan sebagai peniaga. Hakikatnya, apabila seorang cina itu berjaya dalam perniagaan maka cina-cina yang lain tidak mengganggunya tetapi turut belajar bagaimana untuk terus memajukan diri. Lain ceritanya dengan kita, kita sangat susah hati apabila melihat kejayaan orang lain dan berusaha untuk menjatuhkannya. Akhirnya siapa yang rugi? Korang pun tahu jawapannya. Walaupun BUKANLAH SEMUA MELAYU yang bersikap sedemikian tetapi senario ini masih wujud. Mengapa? Bangsa Melayu harus lebih berusaha untuk memajukan diri dan tidak hanya dibuai mimpi. Dunia sekarang sudah jauh berbeza. Persaingan merupakan resam dalam kehidupan dan tidak asing lagi. Siapa kalah dalam persaingan akan ditindas. Maka bangkitlah!! Sedarlah!!!
p/s : Jangan sekadar pandai bercakap. Laksanakan apa yang diucap…

